Monday, December 28, 2009

Salam pertemuan sekali lagi...

Lamanya baru aku mampu menulis entri terbaru. Manakan tidak, sepanjang empat bulan yang lepas, aku sibuk dengan kuliah dan tugasan semester akhir sebelum layak bergelar graduan Sarjana (walaupun belum menerima skrol di majlis konvo universiti). Cabaran waktu itu makin hebat. Subjek elektif yang diambil benar-benar menguji tahap keintelektualan. Tambahan pula, permata hati yang kini menginjak usia ke angka 2, sudah mula lasak dan menuntut lebih pengorbahan dan perhatian. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa dari suami tercinta, ahli keluarga yang dikasihi dan teman-teman tersayang, aku berjaya menamatkan pengajianku.

Saat ini aku sudah selamat memulakan tugas di Universiti Teknologi MARA cawangan Kedah. Tempat baru, persekitaran baru, teman-teman setugas baru dan yang paling penting tugasan baru. Maklumlah, dari seorang eksekutif bank aku beralih profesion sebagai seorang pensyarah! Agak 'suspens' juga ya... Yang acapkali bermain di minda, mampukah aku menjadi seorang pensyarah yang baik, dihormati dan disegani? Bagiku, tugasan guru/pensyarah/pendidik menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Bukan setakat mencurah dan berkongsi ilmu dengan para pelajar, tetapi bertanggungjawab atas pembangunan intelektual dan sahsiah mereka. Mujur suami seorang pendidik, sedikit sebanyak tips yang diberikannya mampu ku praktikkan.

Tidak dinafikan, kadangkala aku rindukan kesibukan semasa bergelar pelajar. Merasai kesibukan semasa memilih subjek, menghadiri kuliah, menyiapkan kertas tugasan, berdiskusi bersama para pensyarah dan teman-teman sekuliah. Terasa pula, ilmu di dada masih belum mencukupi. Banyak yang perlu ku pelajari lebih-lebih lagi mengenai ilmu-ilmu kewangan Islam. Namun aku akur, setiap ilmu yang diperolehi tidak semestinya dikutip dari kelas semata-mata. Ilmu datang daripada segala sumber, formal dan tidak formal. Hanya metadologi untuk memperolehinya saja yang berbeza.

Insyaallah, jika dikurniakan tenaga, kesihatan yang baik dan restu dari keluarga, aku akan memikirkan waktu yang terbaik untuk menambahkan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Buat masa sekarang aku harus memikirkan perancangan untuk menyediakan kertas penyelidikan pula. Pening juga memikirkan topiknya!

Oh ya, berkenaan tajuk blog 'MOMMYATSCHOOL'. Aku rasa masih relevan menggunakan tajuk yang sama biarpun aku sudah tidak bergelar pelajar. Aku masih di universiti, cuma berlainan peranan. Kalau dulu di universiti aku bergelar pelajar, kali ini aku tetap di universiti tetapi sebagai pendidik pula.


Blogger template 'FlowerFlush' by Ourblogtemplates.com 2008