Tuesday, August 11, 2009

Bermulanya DI Sini....

Assalamualaikum....

Akhirnya... pada tarikh ini, 11 Ogos 2009, aku berjaya memujuk jari-jemariku ini agar sudi menari-nari di papan kekunci komputer ribaku. Agak sukar sebenarnya mencari ruang waktu untuk menulis sesuatu di entri blog ini, biarpun blog ini sudah terencana pada bulan Jun yang lalu.

Sebenarnya, keinginan menulis itu tidak pernah padam. Tetapi kesibukan dengan keluarga dan pelajaran membataskan aku dari terus menulis. Sebenarnya, dari zaman persekolahan aku memang minat menulis. Biarpun sekadar menulis jurnal harian, itu sudah cukup buatku meluahkan apa yang tersirat di hati sekaligus mengasah bakat dalam bidang penulisan, penggayaan bahasa dan emosi, tidak kira Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Blog ini ku dedikasikan khas buat suami tersayang yang tidak putus-putus mendorongku agar terus mencintai ilmu, si cilik tercinta yang banyak mengajarku erti kesabaran dan bagaimana menghargai waktu untuk membelainya di samping kesibukanku menelaah pelajaran dan seluruh keluarga dan teman-teman yang banyak melontar idea untukku terus tegar menghadapi kehidupan yang penuh liku.

Seterusnya, blog ini ku cipta untuk meluahkan rasa, berkongsi idea, ilmu dan pengalaman seharian sebagai wanita. Tidak kira dari perspektif sebagai seorang wanita berkerjaya, surirumah sepenuh masa, isteri, ibu, anak perempuan, pelajar dan sebagainya. Kerana bagiku, perjuangan hidup sebagai seorang wanita di era ini penuh cabaran dan liku-liku yang tidak berkesudahan.

Buat Mone, terima kasih kerana memberi inspirasi pada Kak Chu untuk menulis biarpun sekadar dalam blog. Jangan risau... di entri lain Kak Chu akan cuba menulis dalam bahasa yang lebih santai dan 'mesra pengguna' agar senang difahami. Bukan apa, Kak Chu sudah gian menulis dalam Bahasa Melayu kerana sudah kerap sangat menggunakan Bahasa Inggeris tidak kira dalam penulisan mahupun komunikasi seharian.

Jumpa lagi!

Blogger template 'FlowerFlush' by Ourblogtemplates.com 2008