Sunday, August 14, 2011

Ramadhan Ya Ramadhan!!

Sedar tak sedar dah hampir separuh perjalanan kita di bulan Ramadhan ni. Semoga segala amalan dan ibadah kita di bulan ini mendapat berkat dan maghfirahNya. Amin...

Seperti biasa, bila menjengah sahaja bulan Ramadhan @ Puasa, para ibu le yang sibuk. Sibuk menyediakan juadah berbuka, sahur, belum lagi bab-bab segala macam biskut raya, persiapan rumah dan yang penting baju raya anak-anak dan si suami. Namun, itu yang membuatkan para ibu teruja setiap kali menjelang Ramadhan selanjutnya Syawal!

Bagi aku, terus-terang, Ramadhan kali ini yang amat bermakna sekali. Setelah hampir empat tahun mendirikan rumahtangga, baru tahun ini aku dapat menyambutnya sebagai seorang isteri dan ummi! Terkejut? Tapi itulah realitinya. Kronologi Ramadhan ku selama empat tahun adalah seperti berikut:-

2006 : Berjaya menukar status dari 'BUJANG' kepada 'BERKAHWIN'.
2007 : Ramadhan hari ke -8, Ahmad Imran Addin menjengah dunia
(Dah sah-sah kena meng'qada' puasa selama 22 hari). Masa ni aku masih bertugas di
Perak sementara hubby Segamat, Johor.
2008: Aku berpuasa sendirian di KL setelah menerima tawaran melanjutkan pengajian di UIA.
Addin di Perak bersama parents aku dan suami masih lagi di Johor. Huhuhu... Nangis je
tahun pertama di sini terutamanya bila nak berbuka puasa.
2009 : Masih di UIA, final year. Actually, I really miss UIA especially during Ramadhan.
Semangat Ramadhan di sana jelas terasa).
2010 : Berpuasa di Sungai Petani. Awal tahun lepas tamat Sarjana dari UIA, UiTM attached aku
kat Kampus Merbok. Sorang lagik! Addin kat Perak, my lurvly dovey hubby plak kat
UKM, sambung Master. (Hai, bila nak habis adegan kejor-mengejor ni yop!)
Masa ni tengah sarat mengandungkan Zuhri & Rayyan. Kuat semangat betul kalau
diingat balik. Dok rumah sorang2 dan setiap hujung minggu hubby balik kerana risaukan
aku.
2011 : Yeay!!! First time dapat sambut puasa dengan hubby & anak-anak.

Walaupun, bila waktu berbuka tak dapat duduk sehidang dengan hubby (sebab rumah kami x de meja makan, hidang atas lantai je macam orang kampung), aku bersyukur sangat. Lupa pulak, sebab aku x dapat makan sehidang dengan hubby sebab nak menjaga si kembar yang tengah lasak berdiri dan memanjat. Terpaksalah kami ikut giliran nak makan. Selalunya aku cuma dapat makan kuih sepotong dua dan meneguk air je. Jadi la....Kalau nak makan dengan si kembar tu pun syusah jugak. Makan macam berperang. Duduk dalam 'walker' pun boleh terkial-kial kali memanjat nak keluar dari 'walker'.

Tapi aku x kisah semua tu. Yang penting, aku dapat berpuasa dengan hubby dan anak-anak di depan mata. Tambah pulak dengan keletah Abang Yop@Addin yang dah tak berhenti-henti bercakap atau mengaji, Zuhri & Rayyan. Alhamdulillah....

Kronologi Ramadhan tahun depan tak tau pulak. Tunggu hubby habiskan tesis Sarjananya. Akhir tahun ni kot, baru tau kat mana dia nak kena 'posting' pulak. Jadi, kena tunggu setahun lagi la untuk update kan status tu ye!

Apapun, siapa pun di mana pun kita, yang penting roh Ramadhan tu sentiasa meresap ke dalam jiwa. Jangan pula bila tiba je Ramadhan, sibuk dengan makanan dan persiapan raya je semata-mata. Bulan Ramadhan ni bulan untuk kita mempertingkatkan ibadah, mengeratkan silaturrahim dan kasih sayang antara keluarga, teman serta jiran tetangga dan bulan latihan agar kita menjadi insan yang lebih baik. Insyaallah....



Tuesday, August 2, 2011

Lamaaaaanyyyyaaaa....!!!!!

Salam....

Anybody hommmeeee.....!!!!!! Tanya lagik!
Lamanya aku tak 'hupdate' blog. Kesian kat blog aku (atau kesian kat tuan punya blog T____T)
Ibarat kalau ada rumah, dah bersawang gamaknya. Kalau tempat lembap, dah berkulat kot.
Mana taknya, masuk je keje bulan Disember 2010 dah tak pandang kiri ke, kanan, ke, depan ke mahupun belakang. Main redah je berjalan. Sibuk tak tau nak kata.
Nak menyesuaikan diri dengan profesion baru, tempat baru, budaya dan dialek baru pulak.

A few months after that, received very...very... good news. Addin nak dapat adik plak. Lagi sibuk menyiapkan diri sekaligus memastikan, students tak tertinggal apa-apa topik sebelum aku cuti bersalin. Macam torpedo aku buat kerja.
Nasib baik semenjak mula mengandung sampai nak bersalin, tak de alahan. Cuma bila dah final trimester tu mengah membawa perut. Maklum le bawak si kembar!
Sempat menghabiskan semua 'continuous assessments' students sebelum final exam diaorang.

Insyaallah, lepas ni cuba 'memeriahkan' blog sendirik. Bila baca blog orang seronok. Tapi tak de masa plak hak 'update' blog sendiri.
Harap semua bersabar ye!

Monday, December 28, 2009

Salam pertemuan sekali lagi...

Lamanya baru aku mampu menulis entri terbaru. Manakan tidak, sepanjang empat bulan yang lepas, aku sibuk dengan kuliah dan tugasan semester akhir sebelum layak bergelar graduan Sarjana (walaupun belum menerima skrol di majlis konvo universiti). Cabaran waktu itu makin hebat. Subjek elektif yang diambil benar-benar menguji tahap keintelektualan. Tambahan pula, permata hati yang kini menginjak usia ke angka 2, sudah mula lasak dan menuntut lebih pengorbahan dan perhatian. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa dari suami tercinta, ahli keluarga yang dikasihi dan teman-teman tersayang, aku berjaya menamatkan pengajianku.

Saat ini aku sudah selamat memulakan tugas di Universiti Teknologi MARA cawangan Kedah. Tempat baru, persekitaran baru, teman-teman setugas baru dan yang paling penting tugasan baru. Maklumlah, dari seorang eksekutif bank aku beralih profesion sebagai seorang pensyarah! Agak 'suspens' juga ya... Yang acapkali bermain di minda, mampukah aku menjadi seorang pensyarah yang baik, dihormati dan disegani? Bagiku, tugasan guru/pensyarah/pendidik menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Bukan setakat mencurah dan berkongsi ilmu dengan para pelajar, tetapi bertanggungjawab atas pembangunan intelektual dan sahsiah mereka. Mujur suami seorang pendidik, sedikit sebanyak tips yang diberikannya mampu ku praktikkan.

Tidak dinafikan, kadangkala aku rindukan kesibukan semasa bergelar pelajar. Merasai kesibukan semasa memilih subjek, menghadiri kuliah, menyiapkan kertas tugasan, berdiskusi bersama para pensyarah dan teman-teman sekuliah. Terasa pula, ilmu di dada masih belum mencukupi. Banyak yang perlu ku pelajari lebih-lebih lagi mengenai ilmu-ilmu kewangan Islam. Namun aku akur, setiap ilmu yang diperolehi tidak semestinya dikutip dari kelas semata-mata. Ilmu datang daripada segala sumber, formal dan tidak formal. Hanya metadologi untuk memperolehinya saja yang berbeza.

Insyaallah, jika dikurniakan tenaga, kesihatan yang baik dan restu dari keluarga, aku akan memikirkan waktu yang terbaik untuk menambahkan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Buat masa sekarang aku harus memikirkan perancangan untuk menyediakan kertas penyelidikan pula. Pening juga memikirkan topiknya!

Oh ya, berkenaan tajuk blog 'MOMMYATSCHOOL'. Aku rasa masih relevan menggunakan tajuk yang sama biarpun aku sudah tidak bergelar pelajar. Aku masih di universiti, cuma berlainan peranan. Kalau dulu di universiti aku bergelar pelajar, kali ini aku tetap di universiti tetapi sebagai pendidik pula.


Tuesday, August 11, 2009

Bermulanya DI Sini....

Assalamualaikum....

Akhirnya... pada tarikh ini, 11 Ogos 2009, aku berjaya memujuk jari-jemariku ini agar sudi menari-nari di papan kekunci komputer ribaku. Agak sukar sebenarnya mencari ruang waktu untuk menulis sesuatu di entri blog ini, biarpun blog ini sudah terencana pada bulan Jun yang lalu.

Sebenarnya, keinginan menulis itu tidak pernah padam. Tetapi kesibukan dengan keluarga dan pelajaran membataskan aku dari terus menulis. Sebenarnya, dari zaman persekolahan aku memang minat menulis. Biarpun sekadar menulis jurnal harian, itu sudah cukup buatku meluahkan apa yang tersirat di hati sekaligus mengasah bakat dalam bidang penulisan, penggayaan bahasa dan emosi, tidak kira Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Blog ini ku dedikasikan khas buat suami tersayang yang tidak putus-putus mendorongku agar terus mencintai ilmu, si cilik tercinta yang banyak mengajarku erti kesabaran dan bagaimana menghargai waktu untuk membelainya di samping kesibukanku menelaah pelajaran dan seluruh keluarga dan teman-teman yang banyak melontar idea untukku terus tegar menghadapi kehidupan yang penuh liku.

Seterusnya, blog ini ku cipta untuk meluahkan rasa, berkongsi idea, ilmu dan pengalaman seharian sebagai wanita. Tidak kira dari perspektif sebagai seorang wanita berkerjaya, surirumah sepenuh masa, isteri, ibu, anak perempuan, pelajar dan sebagainya. Kerana bagiku, perjuangan hidup sebagai seorang wanita di era ini penuh cabaran dan liku-liku yang tidak berkesudahan.

Buat Mone, terima kasih kerana memberi inspirasi pada Kak Chu untuk menulis biarpun sekadar dalam blog. Jangan risau... di entri lain Kak Chu akan cuba menulis dalam bahasa yang lebih santai dan 'mesra pengguna' agar senang difahami. Bukan apa, Kak Chu sudah gian menulis dalam Bahasa Melayu kerana sudah kerap sangat menggunakan Bahasa Inggeris tidak kira dalam penulisan mahupun komunikasi seharian.

Jumpa lagi!

Blogger template 'FlowerFlush' by Ourblogtemplates.com 2008